Rosli Ilham

Dungun: Seramai 5,000 penduduk di kawasan Hulu Dungun terputus hubungan selepas jalan utama di Kilometer 10, Jalan Tepus-Pasir Raja mendap sehingga terbentuk lubang besar.

Berikutan itu, jalan terbabit ditutup kepada semua kenderaan dan menyebabkan Kampung Kuala Jengai, Rantau Panjang, Syukur, dan Pasir Raja terputus hubungan.

Penduduk, Nordin Saman berkata, mendapan serius itu berlaku sejak dua minggu lalu.

"Sejak kejadian banjir besar pada 2014, jalan di situ sering berlaku mendapan dan setiap kali mendap, pihak berkuasa hanya menampal jalan dan kali terakhir tampalan dibuat pada 30 Ogos lalu.

"Tapi kali ini mendapan itu lebih serius dengan terbentuk tiga lubang seperti kawah besar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, di seberang jalan terbabit mempunyai lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Jengai, SK Jongok Batu, SK Syukur, SK Pasir Raja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

NORDIN Saman menunjukkan Jalan Tepus-Pasir Raja yang mendap sehingga berbentuk lubang yang besar menyebabkan 5,000 penduduk terputus hubungan. FOTO Rosli Ilham
NORDIN Saman menunjukkan Jalan Tepus-Pasir Raja yang mendap sehingga berbentuk lubang yang besar menyebabkan 5,000 penduduk terputus hubungan. FOTO Rosli Ilham

Katanya, apabila jalan itu ditutup, ia menyulitkan guru untuk berulang-alik dan sejak kejadian itu ramai pelajar tinggal di Kampung Minda dan Talong tidak ke sekolah.

"Kalau nak ke sekolah, guru dan pelajar terpaksa menggunakan Jalan Bukit Besi-Besul Lama dan ke Kampung Rantau Panjang dengan jarak sejauh 30 kilometer membabitkan masa sekitar 40 minit," katanya.

Sementara itu, penduduk, Wan Zawawi Wan Ahmad, 38, berkata, mendapat itu berlaku disebabkan pembentung aliran air di bawah jalan itu pecah.

Katanya, masalah pembentung itu perlu diselesaikan dengan segera, jika tidak jalan itu akan kerap berlaku mendapan serius.

"Apabila terputus hubungan, ia menyulitkan pihak berkuasa memberi bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

"Di kawasan Hulu Dungun ini, akan berlaku banjir setiap kali musim tengkujuh dan sudah pasti, pihak berkuasa sukar memindah dan menghantar bekalan kepada mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 2:29 PM