Rosli Ilham


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM200,000 bagi membantu mangsa banjir di wilayah berkenaan.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, selain penduduk di Dungun, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kemaman, Setiu, Besut, Hulu Terengganu serta Kuala Terengganu.

"Bantuan berupa barangan makanan ini kita serahkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengagihkan sumbangan ini kepada mangsa terbabit.

"Pada masa sama, petani dan penternak di Ketengah yang mengalami kerugian akibat banjir akan dibantu dengan kadar segera dan buat masa ini, kami sedang melakukan bancian dan siasatan bagi mengetahui jumlah kerugian dialami golongan itu.

"Kami bersimpati dengan nasib dialami petani dan penternak apabila tanaman musnah manakala ternakan mati, namun buat masa ini kami belum mengetahui jumlah kerugian dialami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada NGO di Bandar Al Muktaffi Billah Shah dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Jongok Batu dan Kampung Minda Talong, di Hulu Dungun, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding, Zaid Sulaiman.

Sementara itu, Razali berkata, Ketengah akan memperluaskan kawasan wilayahnya merangkumi kawasan pendalaman beberapa lagi daerah di Terengganu.

Beliau berkata, selain kawasan pendalaman di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu yang kini berada di bawah wilayahnya, perluasan itu akan merangkumi kawasan pendalaman di daerah Marang, Setiu dan Besut.

RAZALI (tengah) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
RAZALI (tengah) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun. FOTO ROSLI ILHAM

"Usaha pemetaan kawasan itu sedang giat dijalankan dan setakat ini ia hampir selesai sebelum dipohon kelulusan daripada kerajaan negeri dan pusat.

"Kami Kita menjangkakan pemetaan itu akan selesai dalam tahun ini sebelum kita angkat kepada kerajaan negeri dan pusat untuk kelulusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:14 PM