PENDUDUK menggunakan bot untuk merentasi Sungai Galas selepas Jambatan Sungai Kerak ditenggelami air sehingga penduduk terputus hubungan di Kampung Limau Kasturi, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
PENDUDUK menggunakan bot untuk merentasi Sungai Galas selepas Jambatan Sungai Kerak ditenggelami air sehingga penduduk terputus hubungan di Kampung Limau Kasturi, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Hampir 2,000 penduduk di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian, di sini, terputus hubungan apabila Jambatan Sungai Kerak yang menjadi jalan keluar dari perkampungan terbabit dinaiki sejak awal pagi.

Penduduk, Mazita Mamat, 44, berkata dia menyedari kejadian pada 5.30 pagi ketika ingin keluar berniaga.

Katanya, apabila menyedari air sudah melimpah ke atas jambatan, dia yang memandu pacuan empat roda membunyikan hon kenderaan untuk mengejutkan penduduk kampung.

"Seawal jam 5.30 pagi saya keluar dari kampung dan air baru di atas jambatan, 20 minit kemudian paras air semakin meningkat.

"Saya terpaksa membunyikan hon kenderaan bagi mengejutkan penduduk supaya mereka berjaga-jaga dengan paras air yang semakin meningkat," katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi, di sini, hari ini.

Bagi pemilik kedai runcit, Ramli Dollah, 49, berkata, sejurus menyedari air Sungai Galas sudah melimpah ke atas Jambatan Sungai Kerak dia mula menyimpan barang jualan ke atas bot rakit.

"Sehingga kini penduduk masih trauma dengan kejadian banjir pada 2014, dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai bot rakit sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Kami berharap kejadian banjir besar pada 2014 tidak berulang sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian," katanya yang sudah berniaga kedai runcit selama 17 tahun di Kampung Limau Kasturi.

Bagi Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd Shaffien Mohmood, dia menasihat penduduk sentiasa bersiap sedia memandangkan cuaca masih hujan.

"Mana yang ada rumah bot boleh menyimpan barang mereka di atas rumah bot dan yang tiada rumah bot boleh menyimpan barang di tempat yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 8:32 PM