Samsiah (kiri) melihat rumah rakit yang sudah dibaik pulih berhampiran kediaman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Sabtu ini di Kampung Limau Kasturi di sini. FOTO BERNAMA
Samsiah (kiri) melihat rumah rakit yang sudah dibaik pulih berhampiran kediaman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Sabtu ini di Kampung Limau Kasturi di sini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Gua Musang: Penduduk Kampung Limau Kasturi di sini, mengambil alternatif membaik pulih lebih 20 rumah rakit bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.

Penghulu Mukim Mohd Shaffien Mohmood, 48, berkata, kesemua rumah rakit terbabit dibina bagi menyelamatkan harta benda mereka selepas kampung terbabit dilanda tragedi bah kuning, sembilan tahun lalu.

"Sebahagian daripada 80 keluarga di kampung ini turut membina beberapa buah bangsal di atas bukit bagi tujuan tempat pemindahan barangan mereka.

"Kebanyakan penduduk yang tinggal di tebing sungai dan kawasan rendah, mereka membuat persiapan dengan membina rumah rakit bertujuan menyimpan barang apabila berlaku banjir," katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, barangan seperti peralatan elektronik, pakaian dan dokumen penting juga disimpan di sana memandangkan kampung berkenaan sering dinaiki air jika hujan berpanjangan.

Bagi warga emas, Mat Diah Seman, 73, berkata, kos membina rumah rakit bermula dari RM2,000 hingga RM5,000 yang menggunakan enam hingga 20 tong air bagi kegunaan 20 penduduk dalam satu masa.

"Saya membelanjakan lebih RM3,000 untuk mengupah seorang penduduk membina dan menyelenggara rumah rakit milik sendiri setiap tahun.

"Tong air yang diikat di rumah rakit ini akan dibiarkan kosong dan apabila air mula naik ia akan terapung dengan sendiri dan menambatnya pada pokok bagi mengelak ia hanyut semasa banjir," katanya.

Menurut Samsiah Mahmad, 68, kos pembinaan rumah rakit kini bertambah tinggi berikutan peningkatan harga barang binaan seperti tong air, zink dan kayu yang boleh didapati di bandar Gua Musang.

"Biasanya tukang mengambil upah membina rumah rakit ini dengan kadar RM50 hingga RM80 sehari yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu atau lebih untuk menyiapkannya," kata warga emas itu.

Katanya, berikutan trauma semasa banjir bah kuning 2014, beliau juga mula mengisi pakaian ke dalam plastik sebagai langkah berjaga-jaga setelah mendapat pengajaran daripada pengalaman yang dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 11:36 AM