NOR Aini Azmira bersama bayinya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Limau Kasturi. FOTO Paya Linda Yahya
NOR Aini Azmira bersama bayinya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Limau Kasturi. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi, di sini, mula membuat persiapan menghadapi bencana banjir, dengan menyimpan dokumen penting dan peralatan elektrik di tempat lebih selamat.

Tindakan itu diambil lebih awal bagi mengelakkan mereka kehilangan harta benda, selain masih trauma dengan bah kuning yang berlaku pada 2014.

Malah, hujan lebat kebelakangan berterusan beberapa hari ini dijangka meningkatkan paras sungai menyebabkan penduduk terus berwaspada.

Surirumah, Nor Aini Azmira Hanafi, 28, berkata rumah mereka pernah hanyut ketika kejadian banjir 2014 dan sudah tiga kali dinaiki air sejak 2019.

"Bimbang kejadian sama berulang, keluarga kami turut menyediakan rumah rakit bagi membolehkan barangan elektrik diletakkan di atasnya.

"Kejadian banjir yang kerap berlaku menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang besar apabila peralatan elektrik rosak.

"Sekarang kami tidak kisah perlu menyediakan perbelanjaan sendiri untuk membuat rumah rakit dan membeli bot bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda," katanya.

Sementara itu, enghulu Mukim Kampung Limau Kasturi Mohd Shaffien Mohmood berkata lebih 1,200 penduduk sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir terutama mereka yang tinggal di seberang Jambatan Sungai Kerak.

"Mereka yang tinggal di kampung seberang jambatan di sini sentiasa berwaspada dengan paras air sungai dan akan mula berpindah sekiranya air mencecah jambatan besi itu.

"Jambatan itu adalah satu-satunya laluan darat dan sekiranya mula ditenggelami, ia sangat berisiko untuk dilalui penduduk.

"Kami juga tidak mahu ada penduduk yang terkandas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 4:40 PM