PARAS air Sungai Lebir meningkat mendadak menyebabkan jambatan yang menghubungkan perkampungan Orang Asli, Kampung Pasir Linggi dengan bandar berhampiran tenggelam. FOTO Ramli Ibrahim
PARAS air Sungai Lebir meningkat mendadak menyebabkan jambatan yang menghubungkan perkampungan Orang Asli, Kampung Pasir Linggi dengan bandar berhampiran tenggelam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seramai 500 penduduk Orang Asli membabitkan 90 keluarga di Kampung Pasir Linggi dekat sini, terperangkap selepas jambatan di Sungai Lebir yang menghubungkan kampung itu dengan bandar Gua Musang atau Kuala Krai ditenggelami banjir hari ini.

Paras air sungai itu meningkat hingga menenggelamkan jambatan selepas hujan lebat melanda sejak petang semalam.

Pemangku Ketua Daerah, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, penduduk yang ada urusan penting sama ada di bandar Gua Musang atau Kuala Krai boleh menyeberangi sungai menggunakan perahu.

"Persiapan sudah dibuat untuk memindahkan mereka jika paras air terus meningkat.

"Saya difahamkan, ini kali ketiga dalam tempoh sebulan kumpulan masyarakat Orang Asli ini terperangkap akibat terputus hubungan," katanya.

Choon Foo berharap penduduk Orang Asli berkenaan sentiasa berwaspada berdepan dengan kemungkinan paras air meningkat lagi.

"Ada rumah penduduk itu berada di kawasan rendah dan mudah dinaiki air," katanya.

Choon Foo turut memuji sikap penduduk Orang Asli kampung itu yang sudah membina bangsal di atas bukit sebagai persiapan untuk pindah apabila paras air sungai meningkat.

"Kita juga meminta penduduk di kawasan rendah, khususnya Kampung Limau Kasturi, supaya berwaspada dengan peningkatan paras air Sungai Galas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:07 PM