Jalan ke Kampung Batu Papan Dua, Kuala Nerus ditutup selepas dilanda banjir pagi tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Jalan ke Kampung Batu Papan Dua, Kuala Nerus ditutup selepas dilanda banjir pagi tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Hujan berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan rumah 11 keluarga membabitkan 44 orang di Kampung Limau Kasturi, di sini dilanda banjir.

Susulan itu, pusat pemindahan sementara dibuka di Masjid Limau Kasturi bermula 5 pagi tadi.

Empat jambatan yang menjadi laluan perhubungan utama penduduk kampung juga ditutup daripada lalu lintas berikutan limpahan air sungai.

Ia termasuk jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Jambatan Kampung Limau Kasturi, Jambatan Kampung Kerinting dan Jambatan Kampung Batu Papan Dua.

Bagaimanapun, Jambatan Jalan Pekan Lama yang turut ditenggelami air pada 3 pagi berikutan limpahan air Sungai Chinda, boleh digunakan dua jam kemudian selepas air surut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, setakat jam 8 pagi, keadaan banjir di daerah itu beransur baik.

"Limpahan sungai dan banjir termenung disebabkan hujan berterusan tiga hari lalu dan penduduk kampung terpaksa berpindah selepas kediaman mereka dilanda banjir.

"Namun, setakat pagi ini, keadaan sudah beransur baik dan paras air mulai turun terutama Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi.

"Cuma kita mengharapkan penduduk tidak terges-gesa untuk pulang ke rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 9:51 AM