Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi apabila air sungai mulai naik mendadak sejak awal pagi. FOTO Ramli Ibrahim
Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi apabila air sungai mulai naik mendadak sejak awal pagi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Pihak polis menyeru penduduk di Kampung Limau Kasturi, di sini, yang dilanda banjir berpindah awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, ada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan menunggu saat akhir selepas kediaman ditenggelami air.

Katanya, keadaan itu menimbulkan suasana kelam kabut kepada pasukan penyelamat untuk memindahkan mereka dalam jumlah yang ramai.

"Penduduk perlu faham, banjir boleh membahayakan nyawa jika tidak berpindah awal. Kita dapati ada penduduk yang menunggu di saat cemas baru hendak pindah.

"Jumlah mangsa banjir sebenar lebih daripada itu, namun kebanyakannya berpindah ke tempat lain termasuk rumah saudara.

"Keadaan itu menyulitkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan senarai tepat mangsa banjir bagi menghulurkan bantuan makanan," katanya ketika melawat Kampung Limau Kasturi, di sini, hari ini.

Rajab Ahad berkata, banjir berlaku disebabkan air Sungai Galas yang melimpah ke kawasan kampung bermula jam 10 malam tadi dan kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:13 PM