Alias Abd Rani

Muar: "Kalau kamu suka dengan seseorang, buat cara betul. Pada usia kamu ini, patutnya lebih tumpu bantu keluarga dahulu," demikian nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, sebelum menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap seorang mekanik, hari ini.

Hukuman itu dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Syahfizul Fazlly Za'ba, 24, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap kenalannya yang ketika itu berusia 13 tahun pada Ogos 2020.

Tertuduh sedang menjalani hukuman tiga tahun penjara di Penjara Sungai Udang, Melaka atas kesalahan sama, selepas Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada November 2022 mendapati dia bersalah di akhir pembelaan kes itu.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Selepas mengaku bersalah, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan.

Namun, mahkamah memutuskan hukuman penjara itu berjalan serentak dengan tarikh sabitan dikenakan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu pada 14 November 2022.

Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh diwakili Syafiee Naim.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu, hukuman dikenakan bukan untuk menyusahkan tertuduh sebaliknya memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Kamu sudah melakukan kesalahan dan mahkamah perlu menjatuhi hukuman. Apa pengajaran yang kamu dapat sepanjang menjalani hukuman sebelum ini?

"Dalam kes ini, mangsa masih kanak-kanak dan tidak elok kamu memperlakukan sedemikian terhadapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 12:47 PM