Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seramai 13 lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini, atas kesalahan merusuh di hadapan Tokong Fu Ling Kong, Sungai Pinang Besar, Pangkor dekat Manjung pada 1 September lalu.

Bagaimanapun, lima daripada mereka mengaku tidak bersalah.

Tujuh lagi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Turut mengaku bersalah ialah seorang remaja berusia 16 tahun dan mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Tujuh yang mengaku bersalah ialah Teh Sian Bing, 49; Goh Kok Soon, 36; Oh Tiong Min, 19; Ooi Jing Hen, 21; Tan Yuen Guan, 20; Oh Kun Tick, 50, dan Lim Zi Yin, 19.

Mereka diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jaspreet Kaur.

Dua daripada mereka iaitu Sian Bing dan Kun Tick didenda sebanyak RM2,800 atau penjara tujuh bulan manakala lima yang lain didenda RM3,000 atau lapan bulan penjara.

SERAMAI 13 lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini atas kesalahan merusuh di hadapan Tokong Fu Ling Kong, Sungai Pinang Besar, Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
SERAMAI 13 lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini atas kesalahan merusuh di hadapan Tokong Fu Ling Kong, Sungai Pinang Besar, Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Lima lagi tertuduh iaitu Yong Teng Cheok, 22; Ang Liang, 18; Kuk Kiam Wei, 29; Teow Chea Hao, 30, dan seorang remaja berusia 16 tahun yang mengaku tidak bersalah itu diwakili peguam, Koay Jing Qian.

Ang Liang, Teng Cheok, Kiam Wei dan remaja terbabit masing-masing dibenarkan diikat jamin RM2,000 dan RM3,000, manakala Chea Hao dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dengan niat bersama melakukan kesalahan merusuh di hadapan tokong itu pada 9.30 malam.

Kes didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum dibawah peruntukan-peruntukan yang sama.

Jika disabitkan kesalahahan, memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri dan sebutan semula kes pada 14 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 4:20 PM