YEW ketika hadir di mahkamah pada 22 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP
YEW ketika hadir di mahkamah pada 22 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Majistret Kajang, menetapkan 31 Oktober untuk sebutan semula bagi pendengaran aduan tertuduh kes bunuh pegawai bank, bahawa dia dipukul ketika dalam tahanan polis.

Majistret Nor Afidah Idris menetapkan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria dalam prosiding hari ini, memberitahu masih terdapat beberapa dokumen yang tidak lengkap.

Mahkamah masih menunggu laporan perubatan tertuduh, Yew Wei Liang, 41, daripada Hospital Kajang selepas mengemukakan surat bagi mendapatkannya pada 10 September lalu.

Yew didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dalam satu kemalangan di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Nor Afidah berkata, mahkamah akan mengeluarkan notis bertulis mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah bagi memaklumkan kepada pendakwaan mengenai aduan berkenaan.

Sebelum itu, peguam S Selvam yang mewakili Yew iaitu pekerja teknologi maklumat, memohon untuk mendapatkan notis itu sebelum anak guamnya memberikan keterangan bersumpah mengenai aduan terbabit pada prosiding akan datang.

Katanya, Mahkamah Majistret mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis itu bagi membolehkan pendakwaan membantu mahkamah menjalankan siasatan berhubung aduan anak guamnya.

Menurut Selvam, tertuduh mendakwa dipukul dua anggota polis pada hari ketiga dia direman dan cedera pada rusuk kanan selain mendakwa sehingga kini, aduannya tidak diendahkan dan tiada sebarang rawatan diberikan kepadanya.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan pihak Penjara Sungai Buloh memberi rawatan diperlukan tertuduh dan pendakwaan membuat tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 2:47 PM