Alias Abd Rani


Muar: Seorang remaja mengaku di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pertuduhan amang seksual terhadap gadis bawah umur di sebuah pusat karaoke, di Jalan Sisi, di sini, bulan lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh, Muhammad Khairul Effendy Ali Chng, 18, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja di sebuah kedai makan didakwa melakukan amang seksual terhadap kenalan perempuan berusia 16 tahun di pusat karaoke terbabit pada jam 10.29 malam, 30 November lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, tertuduh yang diberi peluang merayu oleh mahkamah memohon supaya dia dibenarkan ikat jamin dengan kadar terendah memandangkan pendapatan bulannya tidak seberapa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap bulan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah menetapkan 9 Januari depan untuk penyerahan laporan sosial JKM sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:24 PM