TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas tidak mengaku cabul anak saudaranya. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas tidak mengaku cabul anak saudaranya. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Seorang pekerja tapak semaian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 57 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mencabul anak saudaranya yang ketika itu berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah, pada 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Melvin Tay.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukannya adalah serius.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap bulan dan tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa sehingga kes ini selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Januari depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 2:37 PM