Alias Abd Rani


Muar: Seorang pekerja penyelenggaraan lebuh raya dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka akibat gagal melunaskan ikat jamin RM10,000 selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak empat tahun yang diasuh isterinya, bulan lalu.

Tertuduh Asran Mohd Tahir, 40, terlebih dahulu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh gagal membayarnya.

Mengikut kerta pertuduhan, Asran didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang ketika itu di bawah jagaan isterinya berikutan ibu bapa mangsa bertugas di luar kawasan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Simpang Renggam, dekat sini antara jam 11 pagi hingga 6.45 petang, 19 September lalu.

Susulan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga dua puluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Danial memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dengan mengambil kira keadaan mangsa yang juga seorang kanak-kanak.

"Mahkamah perlu mempertimbangkan kebarangkalian memandangkan tertuduh dengan mangsa juga tinggal tidak berjauhan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin paling rendah kerana perlu menanggung dua anak masih bersekolah serta mengalami masalah kesihatan.

Abu Bakar turut menetapkan 15 November ini, sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Asran Mohd Tahir dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas gagal membayar ikat jamin RM10,000. FOTO Alias Abd Rani
Asran Mohd Tahir dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas gagal membayar ikat jamin RM10,000. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:57 PM