Jenazah bekas Menteri Pertahanan Malaysia pada tahun 80 han Tan Sri Abang Abu Bakar Datuk Bandar Abang Mustapha, selamat dikebumikan di Masjid Bahagian Bandaraya Kuching, berdekatan Kampung kelahirannya sebelum Solat Magrib. FOTO NADIM BOKHARI
Jenazah bekas Menteri Pertahanan Malaysia pada tahun 80 han Tan Sri Abang Abu Bakar Datuk Bandar Abang Mustapha, selamat dikebumikan di Masjid Bahagian Bandaraya Kuching, berdekatan Kampung kelahirannya sebelum Solat Magrib. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jenazah bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha selamat dikebumikan di Masjid Bahagian Kuching, hari ini.

Allahyarham yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.55 pagi dibawa menaiki pesawat melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan tiba di Kuching kira-kira jam 5 petang.

Sejurus tiba di Kuching, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bahagian Kuching sebelum dikebumikan sebelum solat Maghrib.

Selain ahli keluarga, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun memulakan kerjaya politik pada awal tahun 1970-an dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuching Barat pada 1973 hingga 1979 dan Adun Satok pada 1979 hingga 1981.

Beliau juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak mulai tahun 1976 hingga 1981.

Beliau kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Paloh pada 1981 dan mempertahankannya sehingga tahun 1990.

Selepas itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Rajang mulai tahun 1990 hingga 2000.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dalam kabinet pertama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1990 hingga 1999 sebelum menerajui Kementerian Pertahanan mulai tahun 1999 hingga 2003.

Allahyarham juga pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mulai tahun 1988 hingga 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 8:25 PM