ABDULLAH Fadzil terajui BAM antara 1993 sehingga 2000. FOTO BAM
ABDULLAH Fadzil terajui BAM antara 1993 sehingga 2000. FOTO BAM

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden BAM, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan, 78, yang meninggal dunia di Hospital KPJ Tawakkal, pagi tadi.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Pertahanan menerajui badan induk badminton negara selama tujuh tahun bermula pada 1993 hingga 2000.

"Salam takziah kepada keluarga bekas Presiden BAM, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan. Sumbangan Allahyarham kepada sukan badminton akan sentiasa dihargai.

"Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negara. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman," kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi Facebook BAM.

Beliau berkata, Allahyarham akan terus dikenang sebagai tokoh yang banyak menabur bakti kepada tanah air.

Allahyarham yang juga bekas Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta dilaporkan meninggal dunia pada 3 pagi hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat OBJ Kinta, jenazah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta di Ipoh pada 2 petang ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah OBJ Kinta antara 2000 hingga 2015.

Terdahulu, Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dari 1986 hingga 2004, pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar (1987 - 1995) dan Timbalan Menteri Pertahanan (1995 - 1999).

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Ezatul Hamsiah Hussein dan tujuh orang anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:26 PM