Agong zahirkan ucapan takziah kepada Jusof Udin. FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
Agong zahirkan ucapan takziah kepada Jusof Udin. FOTO Ihsan Facebook Istana Negara

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan, Jusof Udin, yang meninggal dunia kelmarin.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Seri Paduka mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin demikian menurut hantaran di Facebook Istana Negara.

Allahyarham Jusof, 61, pernah memenangi hatrik pingat perak pada Sukan Sea 1977 di Kuala Lumpur, Jakarta 1979 dan Manila 1981.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan Asia New Delhi 1982, selain aktif dalam Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 8:55 AM