Mazli Mazlan pada sidang media mengenai persiapan SPR sempena PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mazli Mazlan pada sidang media mengenai persiapan SPR sempena PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Zatul Iffah Zolkiply dan Noor Atiqah Sulaiman


Chukai: Polis Terengganu bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan semasa hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, esok.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata sebanyak 1,198 kekuatan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman serta Bukit Aman ditugaskan di kawasan tertentu.

"Semua persiapan sudah diaturkan sejak awal lagi dan syukur mengikut ramalan, banjir tidak berlaku di Kemaman.

"Bagaimanapun, kita tetap bersiap siaga dan persiapan anggota sudah 100 peratus sekiranya berlakunya banjir. Saya juga sudah melihat sendiri segala persiapan berkenaan yang dilaksanakan oleh pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi lain yang berkaitan," katanya selepas meninjau Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Kemaman, di Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.

PRK Kemaman yang ditetapkan esok sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kempen kedua-dua calon daripada BN dan Pas berlaku dalam keadaan aman dan terkawal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Tidak timbul banyak masalah berkait dengan tugas PDRM mahupun SPR. Bagaimanapun kita terima tujuh laporan polis namun ia bukanlah isu yang boleh mengganggu perjalanan kempen dan pilihan raya esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:36 PM