MAZLI Mazlan (tiga kiri) meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MAZLI Mazlan (tiga kiri) meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Lebih 2,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, itu, lebih 700 orang daripadanya ditempatkan di PRK Kemaman dengan 400 orang ditugaskan pada hari penamaan calon esok.

Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi lain bagi menangani sebarang kebarangkalian termasuk banjir.

"Kita mengenal pasti lebih 300 lokasi berisiko dilanda banjir ketika musim MTL dan kita bersama agensi yang ada sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

"Selain itu, sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di Parlimen Kemaman yang menjadi pusat mengundi berisiko dilanda banjir dan kita sudah ada pelan kontingensi untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Mazli berkata, pihaknya berharap PRK Parlimen Kemaman berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, semua penyokong juga dinasihatkan supaya tidak melakukan provokasi sehingga boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi untuk PRK Parlimen Kemaman dengan penamaan calon pada hari esok.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:42 PM