GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Dis ini.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menafikan khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman.

"Kita tidak letak calon. Kami kini fokus untuk memperkukuh parti. Kita hendak bina kekuatan bagi menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Dis ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 Nov dan 28 Nov.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Mukhriz berkata, Pejuang akan menganjurkan perarakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak ke Kedutaan Amerika Syarikat pada 2 petang, Jumaat ini sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin dan tindakan biadab Isreal di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 7:39 PM