Razali (dua kiri) ketika mengadakan sidang media sebelum memulakan mesyuarat  khas, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Razali (dua kiri) ketika mengadakan sidang media sebelum memulakan mesyuarat khas, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Umno disaran menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman jika parti itu mahu membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, jika parti itu menarik diri daripada meletakkan calon bertanding pada PRK Parlimen, kewangan kerajaan berjumlah RM3.5 juta mampu dijimatkan dan digunakan untuk membantu rakyat.

Katanya, Umno masih berpeluang menarik diri untuk bertanding dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Selain menjimatkan wang rakyat, kerajaan dan pelbagai agensi boleh memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi banjir yang biasanya berlaku pada November dan Disember di negeri ini.

"Pemimpin Umno disaran menggunakan pendekatan berpendidikan, jangan terlalu mengikut nafsu, sebaliknya perlu mengutamakan masalah rakyat terutama pengundi di Parlimen Kemaman yang bakal berhadapan dengan musim banjir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat Bersatu negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Rosol Wahid.

PRK Parlimen Kemaman diadakan apabila Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada PRU-15, Che Alias memenangi kerusi dengan majoriti sebanyak 27,179 undi selepas memperolehi undi berjumlah 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said yang hanya memperolehi undi sebanyak 38,535 undi.

Ketika mengulas potensi Umno untuk memenangi kerusi pada PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, pimpinan parti itu diminta jadikan PRK Parlimen Kuala Terengganu sebagai iktibar, apabila calon PN, Datuk Ahmad Amzad Hashim memenangi kerusi dengan majoriti sebanyak 47,266 undi, berbanding hanya 40,907 undi pada keputusan PRU-15.

Katanya, Bersatu meramalkan Umno juga turut mengalami nasib sama iaitu tewas dengan majoriti lebih besar jika bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.

"Jentera parti Bersatu sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRK Parlimen Kemaman, apabila lapan bahagian sudah dilantik sebagai keluarga angkat bagi membantu Pas mempertahankan kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 1:44 PM