TAN Sri Raja Mohamed Affandi antara tiga calon dipertaruhkan BN pada PRK Kemaman 2 Disember ini. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Raja Mohamed Affandi antara tiga calon dipertaruhkan BN pada PRK Kemaman 2 Disember ini. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor antara tiga calon dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Dua lagi nama yang dijangka dipertaruhkan ialah pegawai Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan, Norzilam Mohamed dan bekas Ketua Pemuda Umno Kemaman, Hashim Ali.

Difahamkan, nama Raja Mohamed Affandi, 65, pernah tersenarai sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku ketika dihubungi mengesahkan nama Raja Mohamed Affandi antara yang tersenarai sebagai calon BN untuk bertanding di Parlimen Kemaman.

Selain Raja Mohamed Affandi, katanya, beberapa lagi nama turut tersenarai dan dihantar untuk dipilih Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan calon yang akan dipertaruhkan BN pada mesyuarat MKT esok," katanya.

Ketika diminta mengulas calon payung terjun, Nik Dir yang juga Ketua Bahagian Umno Marang berkata, tiada calon daripada luar Terengganu disenaraikan bagi merampas kerusi Parlimen Kemaman.

"Semua calon yang disenaraikan di peringkat negeri dan dihantar ke MKT adalah calon tempatan.

"Kita berpendapat, Ahmad Zahid akan memuktamadkan senarai calon yang dipilih di peringkat akar umbi dan negeri," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said yang dilantik sebagai pengarah PRK Kemaman memberi bayangan bahawa calon yang akan dipertaruhkan adalah individu terkenal dan antara nama-nama terkemuka negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman pada 2 Disember ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 1:24 PM