LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Mayat mangsa serangan harimau di Ladang Getah Kampung Kuala Tol, di sini, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna 200 meter daripada lokasi motosikal mangsa ditemui.

Mayat warga Indonesia, Syabaini, 36, ditemukan dengan keadaan hilang tangan kanan, cedera di bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada 1.30 petang daripada seorang pemilik ladang yang memaklumkan seorang pekerja ladang getahnya disyaki dibaham harimau di ladang terbabit.

Katanya, satu gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat.

"Hasil operasi kira-kira sejam kami menemui mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal mangsa ditemui.

"Mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan tidak sempurna di kawasan cerun di dalam hutan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan SAR pada 6.16 petang dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, pihak Perhilitan akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan haiwan liar terbabit.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

"Pihak polis juga menasihatkan masyarakat setempat yang keluar berkerja supaya bergerak secara berkumpulan bagi mengelakkan sebarang kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 11:35 PM