SEBAHAGIAN penduduk berkawal berhampiran mayat mangsa serangan harimau di Pos Pasik, Gua Musang
SEBAHAGIAN penduduk berkawal berhampiran mayat mangsa serangan harimau di Pos Pasik, Gua Musang
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seramai 20 penduduk Kampung Sugi, Pos Pasik terpaksa menjaga mayat lelaki Orang Asli yang dibaham harimau selepas haiwan liar itu kembali ke lokasi kejadian untuk 'menuntut' mangsanya semalam.

Terdahulu, pemuda Orang Asli suku Temiar itu ditemukan mati kelmarin dipercayai dibaham harimau ketika keluar memburu Selasa lalu.

Mayat Pisie Amud, 25, ditemukan penduduk dengan kesan cedera akibat cakaran haiwan liar itu di kepala dan badan selain kaki kirinya hilang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Mohd Sani Nahtiman berkata, dia dimaklumkan seorang pemuda dari kampung terbabit tidak pulang selepas keluar menyumpit pada Selasa lalu.

Katanya, dua penduduk kampung keluar mencari di atas bukit Kampung Perwer yang bersempadan dengan ladang kepala sawit dan menemukan motosikal mangsa serta peralatan menyumpit selain kesan tapak kaki harimau.

"Mereka pulang dan memaklumkan penemuan terbabit. Kira-kira jam 6 petang saya bersama 10 orang penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian.

"Kami mengesan mangsa dengan menjejaki kesan tapak harimau itu sejauh kira-kira 500 meter sebelum menemukan mayat mangsa.

"Mayat ditemukan dengan kesan cakaran pada kepada, badan dan kaki kirinya sudah hilang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Sani berkata, bermula jam 9 malam pada hari itu mereka berkawal di tempat penemuan mayat.

"Seramai 20 penduduk bergilir-gilir menjaga mayat mangsa sehingga pihak berwajib datang untuk mengambilnya. Kira-kira jam 4 pagi, harimau belang itu datang kembali mungkin untuk mengambil mayat mangsa.

"Orang Asli yang berkumpul membuat bising dan memasang mercun untuk menghalau harimau terbabit, walaupun ia dapat menjarakkan haiwan liar itu, namun masih kelihatan ia berkeliaran di kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima makluman kejadian itu dan menghantar anggota ke lokasi untuk mengambil mayat mangsa bagi tindakan lanjut.

Katanya, mayat tiba di Hospital Gua Musang jam 2.45 petang semalam untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya masih menyiasat tempat kejadian yang berlaku.

Mengikut rekod, pada 5 Julai 2021 seorang penduduk Orang Asli di Pos Bihai parah diserang harimau belang yang kemudiannya berjaya ditangkap dan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.

Manakala pada 7 Januari tahun lalu seorang lelaki Orang Asli maut diserang harimau belang yang kemudiannya ditembak mati kerana cuba menyerang anggota Perhilitan ketika operasi.

Pada 9 Mei lalu, seorang penduduk Kampung Aring 5, Halim Asin, 27, menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing bersama anak saudaranya di Sungai Aring.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 6:55 AM