MAYAT lelaki warga Indoensia dipercayaid dibaham harimau ditemukan dalam ladang kebun getah dekat Kuala Wok, Pos Pasik, Gua Musang. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT lelaki warga Indoensia dipercayaid dibaham harimau ditemukan dalam ladang kebun getah dekat Kuala Wok, Pos Pasik, Gua Musang. FOTO Ihsan Pembaca
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lelaki warga Indonesia ditemukan maut dipercayai dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah dekat Kuala Wok, Pos Pasik, di sini, semalam.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Sukria ditemukan tidak sempurna oleh seorang lelaki tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pos Pasik.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sejurus menerima laporan penemuan anggota badan mangsa gerakan mencari mangsa dilancarkan, pada 9.30 pagi.

"Operasi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah Gua Musang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat.

"Hasil pencarian menemui cebisan kaki di kawasan cerun kira-kira 500 meter dari lokasi pasukan mencari dan menyelamat tiba.

"Seterusnya di lokasi kedua menemui cebisan badan dan kaki kira-kira 300 meter dari kawasan penemuan pertama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan pada jam 4.40 petang dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HM) untuk bedah siasat.

"Pihak Perhilitan akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan dan menangkap haiwan liar terbabit.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:33 PM