Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Menjadi 'tabiat' semula jadi mengerikan apabila harimau belang gemar memakan kepala, paha, alat kelamin dan usus manusia yang dibunuh.

Malah, harimau belang turut memakan mayat mangsa secara berulang kali sehingga benar-benar habis.

Pakar spesies harimau yang juga Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Nik Mohd Zamani Awang, 39, berkata, fakta itu bersandarkan pengalaman dan kes-kes dikendalikan sebelum ini.

Menurutnya, harimau belang secara semula jadinya gemar menyerang mangsanya menggunakan taktik 'serang hendap.'

"Serangan biasanya disasarkan pada bahagian tengkuk bertujuan untuk membunuh mangsanya sama ada haiwan ataupun manusia.

"Biasanya harimau belang memakan bahagian kepala, paha, alat kelamin, perut dan usus mangsa dibunuh," katanya.

Beliau mengulas kes terbaru serangan harimau belang yang membunuh seorang penoreh getah warga Indonesia dikenali sebagai Syabaini, 36, di Kampung Kuala Tol, Gua Musang, Kelantan pada Rabu lalu.

Dalam kejadian itu mangsa diseret harimau belang sejauh 200 meter sebelum bahagian tubuhnya dibaham haiwan buas itu.

Mayat mangsa bagaimanapun berjaya ditemui anggota Perhilitan dan polis sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Nik Mohd Zamani bagaimanapun menasihati orang ramai supaya mengelak daripada bekerja bersendirian di kawasan berisiko atau konflik.

"Mereka perlu lebih berwaspada semasa menjalankan kerja di kawasan berkonflik antara harimau belang dan manusia.

"Elakkan bekerja pada waktu lewat petang atau awal pagi kerana harimau aktif pada waktu ini di kawasan konflik," katanya.

Menurutnya, orang ramai turut dinasihati membawa senjata tajam bagi perlindungan diri.

"Pakai pakaian yang berwarna lebih gelap berikutan ada kajian mengatakan harimau lebih tertarik kepada pakaian berwarna terang.

"Jika terpaksa bekerja di kawasan konflik pastikan perkara itu dimaklumkan kepada orang terdekat supaya mereka boleh melaporkannya segera kepada Perhilitan sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Sebelum ini pada 12 November lalu, seorang lelaki warga Myanmar Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut pada jam 1.30 tengah hari dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto, Gua Musang.

Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di hutan simpan kampung yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 8:02 AM