Penduduk kampung menunjukkan gambar yang tular kejadian pekerja ladang yang dibaham harimau belang, di Kampung Kuala Tol, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk kampung menunjukkan gambar yang tular kejadian pekerja ladang yang dibaham harimau belang, di Kampung Kuala Tol, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: "Ini adalah sejarah paling buruk apabila sudah empat orang dilaporkan maut di serangan harimau belang sejak lebih 55 tahun saya tinggal di sini," kata penduduk Kampung Kuala Tol, Mohd Zain Ismail, 81.

Rabu lalu, kira-kira 1,000 penduduk penduduk Kampung Kuala Tol dikejutkan dengan penemuan mayat seorang pekerja ladang yang maut dibaham harimau belang.penemuan mayat seorang pekerja ladang yang maut dibaham harimau belang.

Menurut Mohd Zain, penduduk Kampung Kuala Tol kini hidup dalam kebimbangan susulan serangan harimau terhadap pekerja ladang, Syabaini, 36, pada Rabu lalu.

"Kejadian terbabit menyebabkan kami hidup dalam kebimbangan dan ketakutan sehinggakan hendak pergi surau pada waktu Subuh pun tak berani kerana haiwan itu masih berkeliaran.

"Sepanjang saya menetap di kampung ini sejak lebih 55 tahun lalu tidak pernah lagi ada kejadian harimau 'memakan' manusia. Ini adalah sejarah paling buruk apabila sudah empat orang dilaporkan maut di kawasan Pos Pasik, Kampung Meranto dan Kampung Kuala Tol.

"Sekarang ini penduduk nak cari makan dengan hasil tanaman di kebun sangat susah kerana ketakutan dengan ancaman harimau belang ketika ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bagi pemilik kebun, Tuan Abdullah Tuan Ismail, 61, berkata, buat masa sekarang, dia sudah tidak berani ke kawasan ladang dan hutan berhampiran Kampung Kuala Tol kerana bimbang dengan ancaman harimau belang.

Katanya, kejadian yang berlaku di Kampung Meranto, baru-baru ini, juga tidak jauh daripada kampung ini.

"Sebelum ini, saya pernah terdengar bunyi ngauman harimau dan saya terkejut dengan kejadian yang menimpa seorang warga Indonesia yang mencari rezeki menoreh getah di kampung ini.

"Kami berharap ada tangkapan haiwan liar dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana sangat bimbang dengan keselamatan nyawa terutamanya ketika ingin ke kebun," katanya.

Seorang lagi pekebun, Ismail Che Pa, 66, berkata, punca rezeki dan sara hidup lebih 100 pekebun kini terjejas dengan kes serangan harimau yang semakin menjadi-jadi di kawasan mereka.

"Sekarang ini, penduduk duduk di rumah dan tidak boleh pergi mana-mana. Nak pergi ke sekolah pun ada yang terserempak dengan harimau.

"Saya berharap pihak Perhilitan bertindak lebih agresif dalam usaha menangkap harimau kerana kita tidak mahu nyawa penduduk lain pula melayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 10:17 AM