HARIMAU dahan yang ditemui mati dipercayai dilanggar di hadapan Masjid Al Huda,Gajah Mati, Jalan Naka. FOTO Ihsan APM
HARIMAU dahan yang ditemui mati dipercayai dilanggar di hadapan Masjid Al Huda,Gajah Mati, Jalan Naka. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Seekor harimau dahan ditemui mati di hadapan Masjid Al Huda Gajah Mati, Jalan Naka, di sini awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Padang Terap menerima panggilan berhubung penemuan harimau bintang yang dilanggar di lokasi pada jam 3.04 pagi tadi.

Menurutnya, anggota dari APM Padang Terap yang diketuai Lans Koperal (PA) Mohd Ridzuan Rashid tiba di lokasi pada jam 3.45 pagi.

"Harimau dahan dipercayai jantan anggaran seberat 30 kilogram (kg) terdampar di tepi jalan utama Pokok Sena ke Naka.

"Haiwan itu dibawa PKOD Padang Terap dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemunculan harimau dahan itu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, harimau itu adalah spesis terancam dan pihaknya juga masih menyiasat sama ada berkemungkinan haiwan itu sesat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 3:57 PM