Alias Abd Rani

Muar: Pengamal perubatan berdepan hukuman penjara 80 tahun serta sebatan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja hingga hamil sejak tahun lalu dan Julai tahun ini.

Tertuduh, Zemi Rahim, 50, yang juga jurulatih Muay Thai bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual serta merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun ketika mendapatkan rawatan membuang santau, dalam tandas sebuah rumah di Pagoh, dekat sini, November 2022.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama serta Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kedua-dua seksyen ini adalah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan untuk setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa sekali lagi didakwa merogol mangsa pada April lalu dengan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada Julai lalu. Semua kejadian berlaku di tempat sama.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama ahli keluarga mahu mendapatkan rawatan kerana didakwa terkena santau.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Muhkliz Azman Aziz dilaporkan berkata, ketika sedang menjalani rawatan tertuduh kemudian mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa dalam tandas rumahnya.

Mangsa mengetahui dirogol selepas mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September lalu, sebelum membuat laporan kejadian pada 27 Oktober lalu.

Tertuduh sebelum ini berhadapan empat pertuduhan amang seksual seorang remaja berusia 16 tahun namun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, bulan lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan dua cadangan sama ada tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin ataupun ikat jamin RM7,500 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes, laporan kimia dan perubatan serta lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:29 PM
ZEMI dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas tidak mengaku merogol dan cabul remaja mendapat rawatan santau. FOTO Alias Abd Rani
ZEMI dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas tidak mengaku merogol dan cabul remaja mendapat rawatan santau. FOTO Alias Abd Rani