PENGUNJUNG mencuba budaya dan tradisi Orang Asli di Desa 5, Putrajaya.
PENGUNJUNG mencuba budaya dan tradisi Orang Asli di Desa 5, Putrajaya.
Sri Ayu Kartika Amri


Putrajaya: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan Program Rural Business Challenge (RBC) 2.0 dengan menawarkan geran perniagaan berjumlah RM15 juta untuk dimenangi usahawan berpotensi.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata, RBC diperkenalkan semula sebagai usaha menggalakkan golongan belia luar bandar menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Katanya, penganjuran program usahawan ini berpotensi merealisasikan idea bernas yang diterjemahkan kepada satu pelan perniagaan yang berdaya maju selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan kepada penduduk tempatan luar bandar.

"Program RBC sudah diperkenalkan sejak 2012 melalui Government Transformation Programme (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21, khususnya untuk program keusahawanan belia.

"Ia diberi nafas baru tahun ini dengan beberapa penambahbaikan yang dikenali sebagai RBC 2.0, bagaimanapun, ia masih mengekalkan konsep asalnya iaitu program pengembangan perniagaan melalui penganjuran pertandingan penyediaan rancangan perniagaan.

"Antara penambahbaikan termasuk pementoran dan pemantauan pemenang RBC 2.0 oleh usahawan yang berpengalaman, penyertaan dan penilaian RBC 2.0 secara dalam talian, hanya kategori pengembangan perniagaan sahaja yang dipertandingkan dan penerapan elemen pendigitalan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran RBC 2.0 sempena program Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria di sini, semalam.

KKDW menyasar sehingga 2,500 permohonan penyertaan Pertandingan RBC 2.0 oleh usahawan belia luar bandar yang berpotensi dari seluruh Malaysia.

RUBIAH  melakukan gimik perasmian ketika Majlis perasmian Rural Business Challenge (RBC) 2.0 dan graduasi peserta aktiviti bimbingan Kelab Usahawan 1Juta (KU1J) sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria, Putrajaya.
RUBIAH melakukan gimik perasmian ketika Majlis perasmian Rural Business Challenge (RBC) 2.0 dan graduasi peserta aktiviti bimbingan Kelab Usahawan 1Juta (KU1J) sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria, Putrajaya.

Hadiah adalah berbentuk geran dan pemenang disyaratkan supaya melaksanakan perniagaan sebagaimana yang dicadangkan dalam rancangan perniagaan (RP) berdasarkan jumlah geran perniagaan yang dimenangi.

Bagi memilih RP terbaik yang menepati objektif dan kriteria yang ditetapkan, kesemua RP yang dikemukakan akan dinilai secara komprehensif melalui lima peringkat penilaian yang akan dilaksanakan oleh panel penilai yang terdiri daripada pegawai KKDW dan agensi, kementerian lain, jabatan teknikal, bank, pakar industri serta pihak lain yang dilantik mengikut kesesuaian tahap penilaian.

Usahawan belia luar bandar yang berpotensi dan berminat digalakkan untuk mengemukakan permohonan penyertaan bagi pertandingan RBC 2.0 di laman rbc2u.com.

Sementara itu, seramai 19 usahawan desa berjaya meraih nilai jualan tahunan melebihi RM1 juta menerusi Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J).

KU1J adalah salah satu aktiviti sokongan keusahawanan di bawah RBC.

Program ini bermula pada 4 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 yang disertai oleh 25 orang usahawan desa selepas melepasi beberapa tahap saringan dan syarat ditetapkan.

Rubiah berkata, usaha KU1J itu berjaya mempertingkatkan prestasi perniagaan dalam kalangan usahawan desa yang mencatatkan hasil jualan tahunan melebihi RM38 juta berdasarkan rekod keseluruhan 25 orang peserta (peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM22 juta) dengan purata jualan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap usahawan.

Katanya, pengiktirafan kepada 19 usahawan desa melalui Majlis Graduasi peserta Aktiviti Bimbingan KU1J ini diharapkan menjadi inspirasi kepada usahawan desa lain untuk mengikuti jejak langkah yang sama.

KUD pamer keunikan budaya, makanan tradisi

Putrajaya: Pengunjung Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya bukan saja teruja dengan produk ditampilkan pempamer malah keunikan budaya dan makanan tradisi usahawan desa diketengahkan.

KUD@Putrajaya 2023 ini juga dilihat mampu menarik minat kunjungan rakyat tempatan serta pelancong luar negara.

Pengunjung, Sharifah Rifah Hussin, 45, berkata, dia yang baru pertama kali mengunjungi KUD teruja dan tidak menyangka program itu dibuat secara besar-besaran.

Katanya, dia berpuas hati dengan keunikan serta suasana ditampilkan KUD@Putrajaya dan akan datang semula pada hari terakhir program ini esok.

"Saya tidak sangka acara ini besar, ingatkan satu tempat saja rupanya banyak ruang pameran yang tersedia.

"Memang saya rancang untuk datang lagi pada Ahad ini bersama rakan dan keluarga sebab banyak lagi tempat yang saya ingin kunjungi.

"Saya juga tak lepaskan peluang membeli produk usahawan desa kerana rata-rata menawarkan harga promosi," katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Menurutnya, program seperti KUD ini harus diperluaskan supaya menjadi antara lokasi pilihan kunjungan masyarakat sekitar dan luar negeri.

Bagi pengunjung, Siti Farah Nadia Ahmad Termizi, 42, berkata dia tidak melepaskan peluang mengunjungi KUD@Putrajaya kerana ingin melihat peluang perniagaan yang boleh disertai.

Siti Farah berkata, usahawan desa yang menyertai acara itu kreatif dengan mengetengahkan keunikan produk masing-masing, malah program dan aktiviti untuk pengunjung juga meriah dan menarik.

"Saya baru berpeluang datang ke KUD@Putrajaya hari ini, selain membeli produk usahawan saya turut mencari maklumat mengenai KUD kerana berminat untuk menyertai," katanya.

Sementara itu, peserta di tapak pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Vicky Eluq Achom, 36, berkata pihaknya menerima kunjungan bukan saja dari orang tempatan, malah pelancong asing.

Katanya, terdapat 30 usahawan Orang Asli mengambil bahagian di KUD@Putrajaya yang mana kelainan di Desa 5 itu berjaya menarik minat pengunjung yang ingin melihat secara langsung budaya dan tradisi Orang Asli.

"Kali ini, kami promosikan produk usahawan asli yang majoritinya hasil kraftangan, madu, herba, kayu-kayan, akar kayu, aksesori Orang Asli dan makanan terus melalui siaran langsung radio Asyik FM.

"Selain itu, yang paling menjadi tumpuan sejak 22 November lalu adalah keunikan perkampungan orang asli yang menjadi daya tarikan pengunjung, ramai yang bergambar dan turut mencuba demontrasi menyumpit serta merasai makanan tradisi orang asli," katanya.

KUD anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berlangsung selama lima hari bermula 22 sehingga 26 November 2023 di Anjung Floria, Putrajaya.

Terdapat lebih 800 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari agensi di bawah KKDW terbabit di acara itu.

KUD@Putrajaya bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari dan pengunjung berpeluang menyertai aktiviti di Gelanggang Sukan Rakyat yang memberi ruang pengunjung mengimbau kenangan menerusi sepak raga, batu seremban, boling kelapa dan congkak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:33 AM