Rubiah Wang (tengah), bergambar bersama peserta ketika Majlis perasmian Rural Business Challenge 2.0 dan graduasi peserta aktiviti bimbingan Kelab Usahawan 1Juta (KU1J) sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria, Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Rubiah Wang (tengah), bergambar bersama peserta ketika Majlis perasmian Rural Business Challenge 2.0 dan graduasi peserta aktiviti bimbingan Kelab Usahawan 1Juta (KU1J) sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria, Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sri Ayu Kartika Amri

Putrajaya: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan Program Rural Business Challenge (RBC) 2.0 dengan menawarkan geran perniagaan berjumlah RM15 juta untuk dimenangi usahawan berpotensi.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata, RBC diperkenalkan semula sebagai usaha menggalakkan golongan belia luar bandar menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Katanya, penganjuran program usahawan ini berpotensi merealisasikan idea bernas yang diterjemahkan kepada satu pelan perniagaan yang berdaya maju selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan kepada penduduk tempatan luar bandar.

"Program RBC sudah diperkenalkan sejak 2012 melalui Government Transformation Programme (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21, khususnya untuk program keusahawanan belia.

"Ia diberi nafas baru tahun ini dengan beberapa penambahbaikan yang dikenali sebagai RBC 2.0, bagaimanapun, ia masih mengekalkan konsep asalnya iaitu program pengembangan perniagaan melalui penganjuran pertandingan penyediaan rancangan perniagaan.

"Antara penambahbaikan termasuk pementoran dan pemantauan pemenang RBC 2.0 oleh usahawan yang berpengalaman, penyertaan dan penilaian RBC 2.0 secara dalam talian, hanya kategori pengembangan perniagaan sahaja yang dipertandingkan dan penerapan elemen pendigitalan," katanya di majlis pelancaran RBC 2.0 sempena program Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria di sini, hari ini.

KKDW menyasar sehingga 2,500 permohonan penyertaan Pertandingan RBC 2.0 oleh usahawan belia luar bandar yang berpotensi dari seluruh Malaysia.

Hadiah adalah berbentuk geran dan pemenang disyaratkan supaya melaksanakan perniagaan sebagaimana yang dicadangkan dalam rancangan perniagaan (RP) berdasarkan jumlah geran perniagaan yang dimenangi.

Bagi memilih RP terbaik yang menepati objektif dan kriteria yang ditetapkan, kesemua RP yang dikemukakan akan dinilai secara komprehensif melalui lima peringkat penilaian yang akan dilaksanakan oleh panel penilai yang terdiri daripada pegawai KKDW dan agensi, kementerian lain, jabatan teknikal, bank, pakar industri serta pihak lain yang dilantik mengikut kesesuaian tahap penilaian.

Usahawan belia luar bandar yang berpotensi dan berminat digalakkan untuk mengemukakan permohonan penyertaan bagi pertandingan RBC 2.0 di laman rbc2u.com.

Sementara itu, seramai 19 usahawan desa berjaya meraih nilai jualan tahunan melebihi RM1 juta menerusi Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J).

KU1J adalah salah satu aktiviti sokongan keusahawanan di bawah RBC.

Program ini bermula pada 4 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 yang disertai oleh 25 orang usahawan desa selepas melepasi beberapa tahap saringan dan syarat ditetapkan.

Rubiah berkata, usaha KU1J itu berjaya mempertingkatkan prestasi perniagaan dalam kalangan usahawan desa yang mencatatkan hasil jualan tahunan melebihi RM38 juta berdasarkan rekod keseluruhan 25 orang peserta (peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM22 juta) dengan purata jualan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap usahawan.

Katanya, pengiktirafan kepada 19 usahawan desa melalui Majlis Graduasi peserta Aktiviti Bimbingan KU1J ini diharapkan menjadi insipirasi kepada usahawan desa lain untuk mengikuti jejak langkah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:36 PM