ORANG ramai mengambil peluang cuti hujung minggu bersama keluarga mengunjungi Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di Anjung Floria, hari ini. FOTO Bernama
ORANG ramai mengambil peluang cuti hujung minggu bersama keluarga mengunjungi Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di Anjung Floria, hari ini. FOTO Bernama
Sudirman Mohd Tahir


Putrajaya: Karnival Usahawan Desa (KUD) @Putrajaya 2023 disifatkan kesempatan terbaik untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkongsi usaha yang dilakukan bagi memberi dorongan dan sokongan kepada usahawan desa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KKDW penting untuk menjamin bukan saja penyertaan tapi kejayaan usahawan desa terutamanya.

" Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid selalu Menteri KKDW, Timbalan Menteri KKDW, Ketua Setiausaha (KSU) dan seluruh jentera dalam kementerian. Sambutan program ini sangat menggalakkan.

" KUD Ini kesempatan kita untuk mendedahkan usaha yang dilakukan oleh kementerian dan yang berkaitan bagi meraikan usahawan supaya diberikan dorongan dan sokongan baik dari jentera kerajaan dan rakyat.

" Sebagaimana saya bisik pada KSU, kementerian ini penting, kritikal, untuk menjamin bukan saja penyertaan tapi kejayaan usahawan desa terutamanya. Dan jika dengan usaha-usaha kita ini dapat mengangkat memperbaiki kedudukan ekonomi mereka, ini yang disebutkan merakyatkan ekonomi.

" Jadi saya beritahu Datuk Seri Ramlan, patut pantau seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian dan ia harus terpakai untuk semua," katanya.

Beliau bercakap demikian pada ucapan perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) @Putrajaya yang diadakan di Anjung Flora, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, baru-baru ini, beliau turut berbincang dengan beberapa syarikat besar Amerika Syarikat (AS).

" Kalau saya faham Islam, ia rahmatan lil alamin. Tapi kita dicaci maki seolah-olah meremehkan peranan Islam. Kedua, kita juga fikir masalah ekonomi. Bila ekonomi tak berkembang, usaha untuk membantu usahawan desa juga terbatas dan ada kekangan.

" Oleh itu, selain mesyuarat biasa, urusan diplomatik, Palestin, kita guna peluang itu untuk berbincang dengan beberapa syarikat besar di AS seperti Google, Facebook, TikTok dan lain-lain supaya dapat melabur dan buat operasi di negara kita dan berikan peluang pekerjaan ribuan kepada anak-anak muda kita.

" Ibu bapanya menjadi usahawan desa, sementara anak-anak dilatih melalui kursus di universiti, institut latihan atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi keperluan dalam bidang lebih canggih temasuk digital," katanya.

Mengenai KUD@Putrajaya 2023 anjuran KKDW menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta membabitkan jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan serta menarik sehingga 1 juta pengunjung sepanjang program berlangsung yang bermula 22 November lalu sehingga esok.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran KUD @Putrajaya ini diharapkan memberi impak positif kepada produk keluaran usahawan tempatan.

"KUD anjuran KKDW kali ini membawakan kelainan kepada pengunjung dengan menerapkan inisiatif memperkenalkan produk pelancongan luar bandar atau Rural Tourism sebagai tarikan utama.

"Impak juga bukan sahaja dari segi jumlah jualan, sekaligus memberi persepsi yang positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara," katanya.

Menurutnya, KUD@Putrajaya 2023 yang berlangsung selama lima hari ini menjadi platform terbaik bagi usahawan desa yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

Program yang dimulakan pada 2018 ini memperuntukkan sejumlah RM31 juta dan berjaya mewujudkan usahawan baharu kepada 105 profesional seperti doktor, doktor gigi, ahli farmasi dan akauntan bertauliah.

Sehingga kini, 117 rangkaian cawangan atau outlet di bawah jenama ini sudah dibuka serta membuka peluang pekerjaan kepada 538 pekerja tempatan dengan jualan terkumpul keseluruhan syarikat adalah RM162 juta.

Bagi merancakkan program kali ini, lebih 800 usahawan desa yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuklah makanan, perkhidmatan, tekstil dan peruncitan, fesyen pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian menjadi fokus utama pelaksanaan KUD @Putrajaya.

Karnival ini turut membabitkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 3:47 PM