Polis dari Batalion 4 PGA Semenyih bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang  menangkap 16 lelaki dan empat perempuan warganegara Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia. FOTO IHSAN PGA
Polis dari Batalion 4 PGA Semenyih bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang menangkap 16 lelaki dan empat perempuan warganegara Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia. FOTO IHSAN PGA
Ruwaida Md Zain


Klang: Hajat mahu pulang berhari raya ke Indonesia menggunakan 'lorong tikus'. Malangnya tindakan 20 warganegara Indonesia itu digagalkan sepasukan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan operasi Ops Benteng di kawasan paya bakau di Jalan Benteng Kiri, Kapar di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka ditangkap susulan aduan awam diterima pasukan kira-kira jam 3 petang semalam.

"Anggota polis dari Batalion 4 PGA Semenyih bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang melakukan serbuan sebelum menahan 16 lelaki dan empat perempuan warganegara Indonesia di kawasan itu.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua warganegara Indonesia berumur 20 hingga 50 tahun dipercayai cuba keluar dari Malaysia menggunakan jalan tidak diwartakan (jalan laut).

"Siasatan lanjut mendapati mereka mahu pulang ke Indonesia disamping mahu menyambut hari raya," katanya tadi.

Rizal berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pasukannya menjumpai sebuah bot bersama enjin dipercayai digunakan sebagai pengangkutan laut semua ditahan.

"Anggaran nilai rampasan berjumlah RM42,000. Tangkapan dibawa ke Balai Polis Kapar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1956/63.

"Kesemua individu ditahan akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala bot dan enjin diserahkan kepada Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang.

"Terima kasih kepada masyarakat kerana memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang dan kami berharap kerjasama ini dapat dipereratkan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:51 PM