LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyerahkan sepenuhnya kepada ahli keluarga kerani yang maut digilis sebuah treler di Jalan Meru, Klang, kelmarin, yang ingin mengambil tindakan undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga lelaki berusia 37 tahun itu.

Katanya, di peringkat KKR, siasatan berhubung kemalangan itu masih berjalan.

"Jadi apabila mereka kata nak ambil tindakan undang-undang, itu hak rakyat. Kita serahkan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Seksyen 6 dari persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lebuhraya WCE, Datuk Ir Hamzah Hasan.

Media sebelum ini melaporkan kerani maut digilis sebuah lori treler selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang dan terjatuh di persimpangan lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa, lelaki berusia 37 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara.

Ditanya sama ada keluarga mangsa akan mendapat pampasan susulan kemalangan itu, Nanta Linggi berkata, perbincangan dalaman akan diadakan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 5:49 PM