Sidang Media oleh Menteri Kerja Raya  Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada majlis perasmian majlis Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas) di Taiping . FOTO L.MANIMARAN
Sidang Media oleh Menteri Kerja Raya  Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada majlis perasmian majlis Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas) di Taiping . FOTO L.MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sejauh 60 kilometer sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka ditandatangani seawal pertengahan tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata draf awal perjanjian dan hal berkaitan konsesi lebuh raya itu kini masih di peringkat penelitian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad) dan kita hendak pastikan ia (tandatangan perjanjian konsesi) pada pertengahan tahun ini.

"Sekarang, ia memang di peringkat draf awal perjanjian dan sebagainya oleh UKAS. Kalau kata tahun ini kita tandatangani perjanjian maka sudah semestinya kita minta ia (pembinaan WISE) dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang akan dibuka bermula 12.01 tengah malam ini, di sini hari ini.

Hadir sama ke majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Hasnol Zam.

Dalam perkembangan berkaitan Alexander berkata, pihaknya memantau aduan daripada beberapa negeri yang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap prestasi syarikat konsesi yang dilantik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:30 PM