ibu dan anak saudara maut digilis tereler. FOTO ihsan pembaca
ibu dan anak saudara maut digilis tereler. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro

Klang: Budak lelaki berusia sembilan tahun dan ibu saudaranya berusia 18 tahun maut selepas kedua-duanya digilis treler di Meru, berhampiran sebuah stesen minyak, di sini, 4.30 petang tadi.

Lebih memilukan, mangsa, Noraihan Rosmin, 18 bersama Mohd Raziq Razwan, 9, dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menghantar makanan serta barang keperluan kepada ibu Mohd Raziq yang menjaga bapanya yang dirawat di hospital berkenaan.

Difahamkan, Noraihan yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah treler dari arah sama menyebabkan kedua-duanya terjatuh sebelum digilis treler berkenaan.

Kedua-dua mangsa parah di kepala serta badan dan maut di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang memaklumkan kejadian berkenaan pada 4.43 petang.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian kedua-dua mangsa bersama motosikal yang ditunggangnya tersepit di bawah tayar treler dan pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 7:58 PM