Tinjauan di beberapa kedai runcit di sekitar Pasar Berek 12. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di beberapa kedai runcit di sekitar Pasar Berek 12. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pengguna dan peniaga mendakwa bekalan minyak masak paket satu kilogram masih sukar diperolehi di daerah ini menyebabkan mereka terpaksa membeli minyak masak dalam dalam botol.

Tinjauan di beberapa kedai runcit di sekitar Pasar Berek 12 di sini mendapati bekalan minyak masak bersubsidi itu habis sejak lebih dua minggu lalu.

Peniaga runcit, Salmawati Mohd Norddin, 38, berkata, minyak masak paket satu kilogram bermasalah sejak lebih tiga bulan lalu menyebabkan dia menjual bekalan dalam botol.

"Kebanyakan pembeli mahu mendapatkan minyak masak paket, namun lebih tiga bulan bekalan ini tiada kedai saya walaupun sudah membuat pesanan.

"Untuk mendapatkan bekalan minyak masak ini, saya membelinya di pasar raya besar namun tidak mencukupi untuk menampung keperluan pembeli," katanya.

Pengguna, Azmi Dollah, 54, berkata disebabkan minyak masak paket sukar diperolehi, dia membeli minyak masak dalam botol untuk keperluan harian yang harganya lebih mahal.

"Walaupun mahal, saya terpaksa beli kerana perlu guna hari-hari untuk memasak termasuk goreng ayam, ikan dan sebagainya.

"Saya mohon pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah ini kerana ramai rakyat tersepit dan perlu guna minyak masak paket kerana harganya lebih murah," katanya yang mempunyai enam anak.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, minyak masak paket bersubsidi di Kelantan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna dan kemungkinan kedai yang terputus bekalan kerana peruncit tidak mempunyai lesen runcit minyak.

Azman berkata, disebabkan peruncit tidak mempunyai lesen runcit minyak, maka pemborong tidak menjual bekalan kepada mereka.

Katanya, faktor ini kerana pemborong tidak boleh menuntut subsidi dari pihak kerajaan.

"Pemborong hanya menjual minyak masak subsidi kepada peruncit yang mempunyai lesen runcit minyak. Ini menyebabkan kedai runcit tidak mempunyai lesen akan putus bekalan.

"Faktor kedua kemungkinan disebabkan syarat yang dikenakan pemborong iaitu peruncit perlu membeli gula premium untuk mendapatkan bekalan minyak masak.

"Kemungkinan peruncit masih ada banyak gula premium dan syarat yang dikenakan akan menyebabkan bekalan barangan keperluan itu menjadi banyak sedangkan ia tidak dapat dijual kerana pengguna lebih memilih untuk membeli gula subsidi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman berkata, bagi peruncit yang tidak mempunyai lesen runcit minyak mereka boleh membuat permohonan di pejabat KPDN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:44 PM