Pekerja mengusun stok bekalan minyak masak paket bersubsidi ketika tinjauan di kedai borong di Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pekerja mengusun stok bekalan minyak masak paket bersubsidi ketika tinjauan di kedai borong di Pasir Pekan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Bekalan minyak masak paket di kedai pemborong dan peruncit, di sini, masih mencukupi tanpa berlaku pembelian panik selepas kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi bagi minyak masak botol mulai 1 Julai ini.

Tinjauan di beberapa kedai mendapati minyak masak paket bersubsidi dijual seperti biasa pada harga RM2.50 satu kilogram, namun pembelian dihadkan kepada pelanggan bagi memastikan bekalan tidak terputus.

Pemilik kedai borong dan runcit, Nurul Huda Mohd Hussain, 37, berkata pihaknya masih menerima bekalan minyak masak seperti biasa dengan harga lama.

"Sekarang minyak masak botol masih dijual pada harga semasa iaitu RM6.20 untuk satu kilogram, RM12.70 bagi dua kilogram serta RM29.50 untuk lima kilogram.

"Saya juga mengambil langkah dengan mengawal kuantiti pembelian minyak masak paket bagi memastikan setiap pelanggan termasuk peniaga dapat membeli untuk kegunaan masing-masing.

"Bagaimanapun, saya berharap harga (minyak masak botol) baru tanpa subsidi nanti tidak terlalu tinggi, kerana bukan sahaja membebankan pembeli, tetapi juga peruncit dan pemborong seperti saya," katanya.

Peniaga kedai makan, Suhaida Ismail, 38, mengakui bekalan minyak masak botol masih ada di pasaran, namun pembelian bagi minyak masak paket agak terhad dengan hanya dibenarkan sebanyak dua atau tiga kilogram seorang.

"Peniaga makanan seperti saya antara yang terkesan jika berlaku kenaikan harga minyak masak botol kerana ia adalah bahan utama kami untuk memasak. Saya risau jika terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kenaikan harga minyak masak secara mendadak.

"Sekarang pun kami sudah rasa terbeban dengan harga semasa minyak masak botol ini, apatah lagi jika ia terus meningkat, tetapi saya sebagai rakyat berharap agar segala keputusan kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan subsidi minyak masak botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 1:03 PM