FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hassan Omar


Masjid Tanah: Harga minyak masak botol 2 kilogram (kg) dan 5k dikesan naik di daerah ini sejak beberapa hari lalu, dipercayai berikutan kenaikan harga minyak sawit di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Harga minyak masak 2kg naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini manakala harga 5kg naik kepada antara RM33 hingga RM33.50 berbanding antara RM24.50 hingga RM27.50 sebelum ini.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di sini mendapati harga naik sejak beberapa hari lalu yang didakwa peniaga sebagai berpunca daripada pemborong.

Peniaga kedai runcit dikenali sebagai Fitri berkata, dia terkejut apabila pemborong yang dihubungi untuk mendapatkan bekalan minyak masak tiga hari lalu memaklumkan harga bahan itu sudah naik.

"Pesanan minyak masak hanya dibuat dua kali sebulan bergantung kepada stok di kedai dan kali ini pemborong memaklumkan harga sudah naik.

"Pemborong memberi alasan pengilang minyak masak menaikkan harga kerana harga minyak sawit melambung di pasaran tempatan dan antarabangsa sekarang," katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan di Malakat Mall, iaitu pasar raya milik Bumiputera yang baharu beroperasi empat bulan di pekan ini, mendapati harga minyak masak 5kg tidak naik.

Harga bahan masak itu bagi jenama 'Hafeez' kekal RM24.50 manakala jenama 'Dian' kekal RM27.50.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, kerajaan hanya mengawal harga minyak masak paket 1kg, tetapi tidak berbuat demikian pada minyak masak botol.

"Harga minyak masak botol 2kg hingga 5kg bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit seperti kos operasi, bahan mentah dan pembungkusan.

"Bagaimanapun, KPDNHEP mengambil maklum perkara ini dan sudah mengeluarkan notis bagi mendapatkan maklumat mengenai kenaikan itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan proaktif dilaksanakan bagi memastikan hak pengguna dijaga seperti merekodkan harga minyak masak botol secara harian.

Menurutnya, pengguna yang ingin mendapatkan minyak masak perlu mendapatkan maklumat melalui 'price catcher' bagi membuat perbandingan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan minyak masak di negeri ini stabil.

Pengguna boleh membuat aduan mengenai isu kenaikan harga barangan keperluan asas melalui panggilan di talian 06-2345822

atau aplikasi WhatsApp (019-2794317).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:42 PM