MAISARAH dan Faizul bersama bayi mereka, Qaseh Aulia. FOTO Ihsan Pembaca
MAISARAH dan Faizul bersama bayi mereka, Qaseh Aulia. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Selepas sebulan pemergian Qaseh Aulia Faizul yang meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, akhirnya punca kematian bayi berusia dua bulan itu disahkan akibat sesak nafas.

Ibu mangsa, Maisarah Rosli, 33, berkata, dia mendapat keputusan laporan bedah siasat itu daripada Pakar Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

"Sesungguhnya jangkaan awal kami adalah benar, punca kematian disebabkan sesak nafas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Qaseh Aulia diletakkan dalam posisi meniarap dan dibedung.

"Kami juga percaya, terdapat unsur kecuaian pengasuh kerana membiarkan bayi pada posisi itu tanpa pemantauan dan pengawasan lebih satu jam sehingga menyebabkan kematiannya," katanya kepada Harian Metro.

Justeru, Maisarah berkata, dia dan suami Faizul Ali Adam, 33, akan berusaha menuntut keadilan ke atas kematian anak kedua mereka itu termasuk berkemungkinan mendapatkan khidmat guaman.

"Saya berharap kematian Qaseh Aulia mendapat keadilan sewajarnya. Kami akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia dan suami reda dengan pemergian Qaseh Aulia dan berharap kejadian itu membuka mata semua pihak mengenai aspek keselamatan bayi.

Maisarah turut mengucapkan terima kasih kepada polis, PPUM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan komitmen tinggi dalam kes berkenaan.

Dalam kejadian 10 Oktober lalu, Qaseh Aulia dilapor meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, selepas mengalami sesak nafas.

Harian Metro melaporkan, Faizul sedih dan terkilan kerana baru dua hari anak dijaga pengasuh taska meninggal dunia.

Faizul dilaporkan berkata, dia dimaklumkan pengasuh yang menemui Aulia dalam keadaan meniarap dengan wajah kebiruan jam 11.17 pagi.

Katanya, pengasuh memaklumkan menghantar anak ke klinik berhampiran sebelum dia meminta menghantar bayinya ke hospital swasta berhampiran dan doktor yang memberikan rawatan mengesahkan Qaseh Aulia sudah meninggal dunia.

Susulan kematian itu, polis menahan pengasuh warga asing bagi merakam percakapan dan dibebas dengan jaminan polis.

JKM kemudian turut menyita taska berkenaan kerana dilaporkan tidak berdaftar bersama jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 2:04 PM