Suraya Roslan

Petaling Jaya: Pengasuh taska warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pengabaian sehingga membawa kematian bayi perempuan dua bulan, Qaseh Aulia bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mulyati Kalim, 51, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Qaseh Aulia Faizul mengabaikan bayi itu dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematiannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taska Juara di Jalan Cecawi, Kota Damansara di sini jam 9.40 pagi pada 10 Oktober lalu.

Ibu kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya P Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kes adalah serius sehingga membawa kematian bayi.

"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mahu tertuduh dijamin, pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan melapor diri ke balai sehingga kes selesai dan pasport diserahkan untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai," katanya.

Mulyati Kalim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. FOTO BERNAMA
Mulyati Kalim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. FOTO BERNAMA

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan selain mempunyai empat anak yang perlu ditanggung.

"Anak guam sekarang tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mohon anak guam dibenarkan jaminan rendah," katanya.

Hakim Syahliza membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan selain tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai serta menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 33, yang turut mengikuti prosiding mahkamah mengakui sebak sebaik melihat tertuduh didakwa di mahkamah.

"Ini kali pertama saya melihatnya, saya sebak dan mengharapkan keadilan untuk anak saya.

"Biarlah mahkamah menentukannya (nasib mereka)," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian 10 Oktober lalu, Qaseh Aulia dihantar ke taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini pada 7.30 pagi oleh Maisarah sebelum ke tempat kerjanya.

Pada 11 pagi, bapa saudara mangsa menerima panggilan telefon daripada pemilik taska memberitahu Qaseh Aulia tidak sedarkan diri dengan muka kebiruan dan sudah dibawa ke klinik.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan menunjukkan Qaseh Aulia ditinggalkan dalam keadaan tertiarap ketika kejadian dan tanpa pengawasan selama sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:07 PM