LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Kertas siasatan berhubung kematian bayi berusia dua bulan, Qaseh Aulia Faizul ketika dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keseluruhannya enam saksi sudah dirakam keterangan dan seorang suspek ditahan berhubung kejadian itu.

"Untuk kes ini kita sudah lengkapkan siasatan, laporan perubatan baharu disiapkan selepas terima laporan itu kita akan majukan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, pihak hospital mengesahkan punca kematian Qaseh Aulia berpunca dari sesak nafas.

Ibu mangsa, Maisarah Rosli, 33, berkata, dia mendapat keputusan laporan bedah siasat itu daripada Pakar Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Dalam kejadian 10 Oktober lalu, Qaseh Aulia dilapor meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, selepas mengalami sesak nafas.

Harian Metro melaporkan, bapa mangsa Faizul Ali Adam sedih dan terkilan kerana baru dua hari anak dijaga pengasuh taska meninggal dunia.

Faizul dilaporkan berkata, dia dimaklumkan pengasuh yang menemui Aulia dalam keadaan meniarap dengan wajah kebiruan jam 11.17 pagi.

Katanya, pengasuh memaklumkan menghantar anak ke klinik berhampiran sebelum dia meminta menghantar bayinya ke hospital swasta berhampiran dan doktor yang memberikan rawatan mengesahkan Qaseh Aulia sudah meninggal dunia.

Susulan kematian itu, polis menahan pengasuh warga asing bagi merakam percakapan dan dibebas dengan jaminan polis.

JKM kemudian turut menyita taska berkenaan kerana dilaporkan tidak berdaftar bersama jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 5:25 PM