TANGKAP layar video tular di sosial media. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di sosial media. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila rantai emas miliknya diragut penunggang motosikal berhampiran sebuah pusat beli-belah di Pekan Kajang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 58 tahun jam 11.40 pagi, semalam.

"Menurut mangsa yang juga suri rumah, kejadian itu berlaku ketika dia memasukkan barang ke dalam kereta yang diletakkan berhampiran pusat beli-belah berkenaan jam 10.23 pagi, semalam.

"Seorang lelaki kemudian tiba-tiba meragut rantai leher emas mangsa dan menyebabkan suspek yang dipercayai menaiki motosikal Yamaha 135LC terbabit turut terjatuh.

"Namun, suspek berjaya melarikan diri selepas usaha orang awam yang berada di lokasi untuk menahan lelaki terbabit gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa dilaporkan kerugian seutas rantai emas miliknya, namun tiada sebarang kecederaan serius dialami wanita berkenaan.

"Rakaman video berdurasi 47 saat yang dirakam sebuah kenderaan awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian tular di sosial media.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Rahmad Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan.

"Polis menghargai kerjasama orang awam dalam membanteras jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 6:44 PM