Abdul Aziz (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Siti A'isyah Sukaimi
Abdul Aziz (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Siti A'isyah Sukaimi
Siti A'isyah Sukaimi


MENYASARKAN kanak-kanak yang memakai rantai emas dan sebaik melihat ibu bapa mangsa leka, suspek segera meragut barangan kemas itu dengan memutuskannya menggunakan pengetip kuku.

Itu modus operandi digunakan empat wanita termasuk seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 47 tahun yang aktif melakukan jenayah itu sejak 2010 dengan menyasarkan lokasi tumpuan orang ramai.

Keempat-empat suspek pernah ditahan sebelum ini serta mempunyai rekod jenayah lampau termasuk di utara tanah air dan terbaharu, mereka ditumpaskan pada 19 Oktober lalu selepas melakukan modus operandi sama di pusat beli-belah IOI Mall Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya menerima maklumat pada 18 Oktober lalu jam 7.15 malam berhubung kejadian ragut dan curi barangan kosmetik di kompleks beli-belah itu oleh empat suspek wanita.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, ibu mangsa yang pulang dari IOI Mall Putrajaya menyedari rantai emas dipakai anaknya berusia tiga tahun sudah tiada dan dia mengesyaki, barangan kemas itu diambil orang.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berjaya mengesan empat suspek terbabit menarik rantai emas anak mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Abdul Aziz berkata, siasatan juga mendapati, suspek sebelum itu dilihat masuk ke dalam kedai kosmetik berhampiran.

"Berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Sepang menahan empat suspek pada 19 Oktober lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam di kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah berkenaan.

"Polis turut merampas barangan dipercayai terbabit dalam kes itu antaranya rantai emas putus-putus, rantai emas, loket emas, gincu dan minyak wangi serta gunting," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes ragut rantai dan curi barangan kosmetik di IOI Mall Putrajaya.

Selain itu, katanya, siasatan juga mendapati, sebelum ini suspek mempunyai enam rekod jenayah untuk kes menggunakan modus operandi sama.

Keempat-empat suspek direman di Mahkamah Majistret Sepang pada 19 Oktober lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:59 PM