GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT penjenayah melarikan lapan dulang barang kemas di kedai emas di pusat beli-belah di Jalan Tun Abdul Aziz, Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.43 malam.

“Kami menerima panggilan daripada seorang lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan memaklumkan kedai emas di pusat beli-belah berkenaan disamun empat lelaki.

“Dalam kejadian ini, suspek bersenjatakan dua objek menyerupai pistol dan melarikan tiga dulang penuh barang kemas dan lima dulang mengandungi sebahagian barang kemas.

“Tiada tembakan dilepaskan dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, anggaran kerugian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Vekram di talian 019 4737108.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:30 AM