GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.38 malam, pada 15 November lalu.

"Mangsa berusia 45 tahun memaklumkan dipukul oleh suaminya (suspek) menggunakan tangan dan kaki menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tubuh badan.

"Dalam kejadian itu, pengadu juga turut ditarik rambut dan ditendang di kepala oleh suspek menyebabkan mangsa melarikan diri dengan keluar dari rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, terdapat saksi yang melihat kejadian itu iaitu pembantu rumah, pemandu peribadi suspek dan anak perempuan pengadu berusia tujuh tahun seperti dalam rakaman video yang tular di media sosial sebelum ini.

"Susulan kejadian itu, pengadu mendapatkan rawatan awal di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat dipukul di bahagian mata, kepala, kaki dan belakang badan.

"Bertindak atas maklumat, kami menahan suspek berusia 58 tahun yang juga suami kepada suspek di kawasan Setapak, Kuala Lumpur jam 4.35 pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes pemerasan.

"Suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 22 November nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan bekas suami penyanyi dangdut popular bertindak kejam apabila membelasah seorang wanita dipercayai isteri baharunya.

Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular kelmarin.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 10:40 AM