Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Pencarian mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan tiga tingkat di Pulau Perhentian di sini, berakhir apabila buruh warga negara Indonesia itu ditemukan maut, petang ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Suparno ditemukan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.08 petang.

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 3.15 petang.

"Mayat mangsa dibawa ke jeti Kuala Besut sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

"Kita berjaya menemukan ketujuh-tujuh mangsa dan pusat operasi ditutup secara rasminya, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan tapak pembinaan bangunan setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pulau Perhentian itu tiba-tiba runtuh pada 4.30 pagi semalam.

MAYAT warga Indonesia yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan restoran di Pulau Perhentian di sini, ditemui pada 2.08 petang hari ini. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT warga Indonesia yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan restoran di Pulau Perhentian di sini, ditemui pada 2.08 petang hari ini. FOTO Ihsan Bomba

Runtuhan itu menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang tempatan yang ketika itu sedang tidur nyenyak di tapak pembinaan yang hampir siap berkenaan.

Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.50 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 5:19 PM