PEMANDANGAN udara runtuhan bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan di Pulau Perhentian. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN udara runtuhan bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan di Pulau Perhentian. FOTO arkib NSTP
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Seorang lagi mangsa daripada enam yang terselamat dalam kejadian runtuhan bangunan restoran di Pulau Perhentian di sini, Khamis lalu, disahkan meninggal dunia pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Bahul Jamil, 42, disahkan meninggal dunia pada jam 2.14 pagi tadi.

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Punca kematian disebabkan Rhabdomyolysis (kecederaan otot yang sangat teruk akibat tersepit, cedera atau terkoyak teruk).

"Berdasarkan keterangan pakar perubatan keadaan itu menyebabkan protein dan garam dari otot rosak ini bocor masuk ke dalam darah.

"Seterusnya akan meracuni jantung dan buah pinggang menyebabkan kegagalan jantung akhirnya mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rozak berkata, mangsa adalah kumpulan yang berjaya dikeluarkan pada petang kejadian.

"Selepas dibawa keluar dari lokasi, mangsa dihantar ke Hospital Besut sebelum dikejarkan ke HUSM untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, Bahul adalah mangsa kedua insiden itu yang meninggal dunia.

Khamis lalu, media melaporkan tapak pembinaan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh pada jam 4.30 pagi.

Runtuhan itu menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang tempatan yang ketika itu sedang tidur nyenyak di tapak pembinaan yang hampir siap berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 2:53 PM