PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang tertimbus. FOTO Ghazali Kori
PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang tertimbus. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply dan Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Kaedah manual digunakan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan seorang lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan di Pulau Perhentian di sini, hari ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Yusmaredza Mirza Mohamed Ali berkata, langkah itu digunakan berikutan lokasi kejadian jauh dari daratan dan menjadi kekangan untuk aset sampai dengan cepat.

Katanya, selain itu pasukan penyelamat juga terpaksa membuat laluan dan membersihkan kawasan runtuhan bagi mengesan dan mengeluarkan mangsa.

"Kita terpaksa melakukan pencarian secara manual terlebih dahulu memandangkan kita berada di pulau dan ia akan mengambil masa untuk menunggu ketibaan aset yang lain.

"Selain itu, kita bimbang berlaku runtuhan lain memandangkan kawasan berkenaan masih dalam pembinaan.

"Kedua-dua mangsa (kelima dan keenam) memang berada dalam runtuhan dan tidak boleh bergerak tetapi kita bernasib baik kerana mangsa sedar.

"Jadi, kita dapat berkomunikasi dengan mereka dan membuat laluan khas untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap, " katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini hari ini.

Menurutnya lagi, ketika ini operasi mencari seorang lagi mangsa masih giat dilaksanakan termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Beliau berkata, pihaknya juga memohon bantuan daripada unit anjing pengesan (k9) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Berita berkaitan:

6 selamat, 1 dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan resort

Empat dipercayai tertimbus, bangunan runtuh di Pulau Perhentian

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 5:21 PM