Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha mengawal peningkatan kos mengerjakan haji dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi bagi mengelakkan harganya meningkat setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perjanjian kontrak jangka panjang itu dimeterai dalam aspek penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan lain.

"TH sentiasa peka dengan menyemak secara terperinci kos menunaikan haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baru yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.

"Melalui pemeteraian perjanjian kontrak jangka panjang, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos untuk mengerjakan haji serta syarat dan kelayakan baharu ditetapkan.

Pada masa sama, Mohd Na'im berkata, kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan selepas perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan TH.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, TH akan terus

memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang layak.

Katanya, kenaikan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi dari lima kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga adalah punca kenaikan kos yang agak ketara.

"Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH. Ini termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran mata wang ringgit berbanding Saudi Riyal dan Dolar Amerika.

"Ia juga membabitkan projek pembesaran yang berterusan di Tanah Suci Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga caj dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci Makkah.

Berkaitan syarat dan kelayakan untuk mengerjakan haji pada 1445H, beliau berkata, ia sama seperti musim haji 1444H yang lalu melainkan jika ada peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Antaranya ialah tiada had umur ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji," katanya.

Mohd Na'im berkata, bakal jemaah haji juga dinasihati mengambil suntikan vaksin tambahan membabitkan influenza dan pneumococcal di kemudahan kesihatan swasta dengan kos ditanggung sendiri.

Katanya, setiap bakal haji juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan dengan kriteria dan garis panduan kesihatan yang ditetapkan sebelum dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.

"Vaksin tambahan ini digalakkan kerajaan berikutan keadaan di Arab Saudi yang begitu panas, dengan ia boleh berfungsi sebagai perlindungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 2:21 PM